Tags

, , , , ,

53565352 2

Saudara-Saudari Se-Tanah Air,

Pada esok hari, kita akan menggunakan hak kita sebagai warganegara untuk menentukan kerajaan pilihan kita.Ini tanggungjawab kita yang suci. Masa depan negara kita ada dalam  tangan kita. Tidaklah perlu lagi saya ingatkan saudara-saudari betapa tingginya pertaruhan ini.

Setelah sekian lama berkhidmat di luar negara sebagai diplomat dan duta, saya mendapati bahawa apabila ada kerajaan yang adil, bertanggungjawab dan benar-benar komited untuk berkhidmat kepada rakyat, sesebuah negara dapat bangkit ke arah kegemilangan; rakyat menjadi makmur, hidup dengan aman dan berpeluang untuk mengejar impian mereka. Tetapi apabila kerajaan menjadi korup dan penuh dengan rasuah,  seluruh rakyat jelata menanggung sengsara.

Terdapat banyak contoh negara yang bermula dengan potensi yang besar namun akhirnya bergelumang dalam rasuah, salah urus tadbir dan ketidakstabilan.

Saya tidak pernah menjangka nasib sedemikian akan menimpa negara tercinta ini, bahawa Malaysia yang kita kenali dan cintai kini digelar sebagai kleptokrasi, objek yang dicemuh, negara penuh skandal, ketidakadilan dan ekstremisme. Walaupun negara sudah merdeka selama 60 tahun, ramai rakyat Malaysia masih bergelut menanggung sara hidup yang sederhana bagi keluarga masing-masing. Ini bukanlah Malaysia yang saya banggakan sebagai duta.

Kita hidup di tanah yang diberkati dengan kekayaan sumber alam dan peluang; rakyat kita rajin serta kepelbagaian kita unik lagi indah. Semestinya tiada sebabnya mengapa kita tidak boleh menjadi negara terbaik di dunia. Yang kurangnya  ialah kepemimpinan yang baik, bertanggungjawab dan mendukung akauntabiliti.

Ada orang mengatakan bahawa perubahan  terlalu berisiko tinggi, terlalu berbahaya.Mereka merujuk kepada ketidakstabilan dan huru-hara yang berlaku berikutan dengan pertukaran  kerajaan di negara lain. Mereka membayangkan kemungkinan berlakunya pengalaman buruk yang pernah  menghantui negara kita sebelum ini.

Tetapi Malaysia kini berbeza. Kita mempunyai pemimpin yang berpengalaman dan berkebolehan serta berkaliber  dalam Pakatan Harapan yang mampu membawa  perubahan  tanpa kekacauan dan ketidakstabilan seperti yang dialami negara-negara lain. Tengoklah Negeri Selangor. Tengoklah Negeri Pulau Pinang. Dan tengoklah Tun Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Mat Sabu dan lain-lain.

Pada hakikatnya, kita tak pernah mempunyai pasukan yang sedemikian berbakat, bersemangat dan komited bertanding untuk Parlimen atas nama Pakatan Harapan.

Saya telah bertemu dengan sebilangan besar antara mereka dan saya teruja bahawa masa depan negara kita akan berada dalam tangan lelaki dan wanita yang sedemikian cemerlang dan berdedikasi. Walau bagaimanapun, kita mestilah memberikan kuasa kepada mereka melalui undi kita supaya mereka membawa perubahan yang kita hajati.

Jangan tersilap: pilihan raya ini bukan mengenai bangsa atau agama atau menjatuhkan mana-mana pihak dan kumpulan; sebaliknya ia mengenai perihal membangunkan seluruh rakyat kita, mengenai tadbir urus yang baik, bertanggungjawab, berintegriti dan keadilan.

Hanya mereka yang mengeksploitasi kelemahan kita, memanipulasi ketakutan kita dan menggadaikan nasib kita – mereka inilah yang takut berubah. Mereka tidak boleh dibenarkan untuk terus mentadbir negara kita .

Perubahan tidak mustahil. Siapa sangka bahawa orang yang berkuasa seperti Ferdinand Marcos, Suharto, Hosni Mubarak dan Robert Mugabe akan jatuh. Mereka memegang  teraju sebagai pemimpin semua kuasa negara, menguasai semua institusi negara dan disokong oleh puak-puak kroni yang setia untuk melaksanakan kesemua kehendak mereka. Mereka kelihatan kebal dan selamat. Namun mereka tetap jatuh.

Saya tidak tahu apa yang terlintang di hadapan kita, tetapi saya tahu bahawa inilah masa keemasan untuk memberikan mesej yang sejelas mungkin kepada mereka yang akan memerintah negara nanti bahawa kita tidak akan bertolak ansur terhadap rasuah, ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa, kekerasan, manipulasi bangsa dan agama.

Saudara-Saudari Se-Tanah Air,

Inilah peluang terakhir untuk kita menyelamatkan negara kita, untuk menyelamatkan demokrasi kita, untuk menebus masa depan kita. Jika kita tidak bertindak sekarang, Malaysia yang kita kenali dan cintai akan akhir sebagai negara gagal dan nama kita akan bersinonim dengan rasuah, ekstremisme dan ketidakstabilan. Jangan biarkan nasib sebegitu menimpai negara tercinta kita.

Oleh itu, saya menggesa anda menyokong perubahan, memilih suatu Malaysia yang lebih baik, dan mengundi Pakatan Harapan.

Dato’ Dennis Ignatius

Bekas Duta Besar Malaysia

Kuala Lumpur | 8hb Mei 2018

Advertisements